KOTA BHARU: Artis Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada majlis Himpunan Belia Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, hari ini.

Sementara itu, Amy Search menyatakan bahawa beliau belum sedia untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk PAS.

"Apa yang saya buat perlu difikirkan dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi ikutan kepada peminat setia saya.

"Saya memang peminat Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tapi belum terfikir untuk menyertai PAS," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu pada beberapa majlis formal dan tidak formal dan bakal mengadakan konsertnya di sini pada Jun depan.

Beliau berkata atas dasar profesional, kehadirannya pada majlis politik seperti itu tidak perlu dipolitikkan dan sebagai artis ia merupakan satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli turut menyampaikan beberapa lagu popular mereka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengakui begitu tersentuh hati apabila mendengar nyanyian Amy terutama mendendangkan lagu-lagu berentak ketuhanan.

"Sampai mengalir air mata saya mendengar Amy menyanyikan lagu-lagu begini dan apabila artis rock menyampaikan lagu-lagu ketuhanan ia telah menolak tanggapan negatif terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata untuk menyampaikan mesej keislaman tidak semestinya hanya para ulama dan tok guru tetapi penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama.

"Apa pun kepada penyanyi saya nasihat jangan salah gunakan suara ke jalan yang tidak baik," katanya.

Disunting dari BERNAMA