Latar Belakang

Berikut adalah dinukilkan catatan Amaluddin Darus rahimahullah mengenai usahanya mengembangkan PAS di Kelantan.

"Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi kesana menemui Imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah disana.Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorangpun pedulikan saya.

Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan Imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.

Saya meminta secawan the dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajipan saya. Semoga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.

Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh! Katanya, "Boleh saya tanya sikit?”. Saya merenung pemuda itu dan mempersilakan dia mumbuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi, demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?” Saya tersenyum kepadanya. Dia mengulangi lagi ,"Bila PAS boleh perintah Kelantan?”. Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi. Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi mengantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok Guru-Tok Guru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan isya'Allah akan memerintah Kelantan ini. Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai tu barangkali.

Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengigatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu. Katanya " Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya pada masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai 1958 saya telah menyokong PAS.”

Faktor Penubuhan PAS di Kelantan

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai kaitan rapat dengan kesedaran para ulama’ yang bangkit memperjuangkan Islam di kalangan masyarakat Tanah Melayu. Kesedaran itu diperkukuhkan lagi dengan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British. Asas dan dasar inilah juga yang menjadi teras perjuangan PAS menuntut kemerdekaan daripada British.

Dengan demikian lahirkan sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita dan prinsip perjuangan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan berdasarkan al-Quran dan al-Hadis dan rakyatnya mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Demikian mengenai penubuhan PAS di Kelantan adalah sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai faktor. Di antaranya, sejarah kebangkitan Tok Janggut dengan semangat jihad bangkit menentang penjajah Inggeris dalam isu penindasan terhadap rakyat menerusi pengenaan cukai tanah. Begitu juga tidak kurang penting adalah peranan ulamak seperti Tok Kenali atau Haji Mahmood Yusoff bin Ahmad menerusi tulisan dan buah fikirannya membawa kesedaran politik secara tersirat di sebalik pengajaran Islam kepada rakyat Kelantan. Tokoh-tokoh ini adalah sangat berperanan dalam membuka hati rakyat memahami dan menerima perjuangan politik.

Lanjutan kemunculan UMNO terlebih awal, PAS muncul kemudiannya menguasai pemikiran rakyat Kelantan bagi memperjuangkan kepentingan mereka atas dasar Islam.

Kemudian dalam konteks lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS.

"Muhammad Asri , Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah pemuda-pemuda dari API yang diharamkan, di mana banyak daripada mereka di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama pemimpin-pemimpin PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Di antara pemimpin-pemimpin API itu, ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman seperjuangannya, mereka berbincang hebat mengenai politik. Cara berfikir, Hasan dan Abdul Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif. Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau memandang politik nasional dengan kacamata Islam".

Walau apapun, faktor sebenar PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut telah dibawa oleh beberapa pemimpin Masyumi Indonesia (parti berlandaskan dasar Islam) yang datang menetap dan melawat Kelantan.

Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang telah datang menetap di Kelantan sejak 1932. Beliau dilahirkan di Bukit Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan restoran yang menyediakan menu masakan ala Sumatera. Beliau telah bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan menghayati perjuangan Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan pada 1951, berita itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud. Mereka mendapat maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak, khususnya melalui Khaidir bin Khatib yang mengajar agama di Ma'ahad Ehya al-Syariff Gunung Semanggol. Khaidir juga berasal dari Sumatera.

Menurut Amaludin Darus, pada masa itu Mohd Asri yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak untuk mengelak dari diburu oleh pihak berkuasa. Beliau kemudian berkahwin dengan Sakinah anak kepada Haji Joned (juga dari Sumatera), salah seorang guru di Maahad Ehya Al-Syariff. Di maahad itulah Mohd Asri telah mula memahami perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan Pejabat PAS di Kepala Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan.

Mohd Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Sokongan moral dan kewangan dari Mohd Daud dan Bustamin serta beberapa rakan lain turut sama mengadakan ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya menubuhkan ranting PAS pertama di Kota Bharu dalam tahun 1952. Di antara tokoh yang bersama -sama Mohd Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/ Pegawai Majlis Agama) dan Abdul Rahman sulong (imam di Dewan Beta).

PAS Kelantan Ditubuh

Selepas penubuhan ranting PAS itu, ia diikuti dengan penubuhan PAS cawangan pertama di Kelantan bertempat di Pasir Mas. Penubuhan itu adalah atas usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Badullah Ahmad dan lain-lain. Penubuhan secara rasmi PAS cawangan Pasir Mas ialah pada 23 Julai 1953.

Berteraskan perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan Islam seperti pada ulamak, ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat.

Kejayaan penubuhan PAS cawangan Pasir Mas telah mendorong Amaluddin Darus bersama-sama Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan pelbagai cara. Di antaranya ialah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS .

Cawangan kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 1953. Pengasas penubuhannya ialah Hj. Muhammad Nor bin Hj Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji Mohd Nor Machang.

Selepas cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah diikuti dengan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang pesat setelah kepulangan Mohd Asri bin Hj. Muda dibantu oleh Ishak Lotfi bin Omar anak saudaranya. Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pusat turut berperanan membantu Mohd Asri. Kemudian muncul seorang tokoh tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Hj Adam Kamil.

Hasilnya PAS telah berkembang dan berjaya menubuhkan cawangan di Tanah Merah (1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959).

Perkembangan PAS di Kelantan

Selepas tahun 1955, PAS Kelantan membuka lembaran baru berikutan kepulangan Mohd Asri. Beliau diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.

Ketokohan Mohd Asri banyak menyumbang kepada menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam. Pidatonya yang disokong dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis di samping pandai menyelitkan unsur-unsur nasionalisme. Persembahan pidatonya telah berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Di antara guru pondok yang terkedepan ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari Pondok Bunut Payong.

PAS Kelantan Mewarisi Perjuangan Islam Sebelumnya

PAS pada asalnya adalah Persatuan Alim-Ulama’ Se-Tanah Melayu mewarisi Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1947 (oleh Ust Abu Bakar al-Baqir, Pengasas Ihya’ al-Syarif Gunung Semanggol), iaitu kesinambungan daripada perjuangan pembaharuan masyarakat Islam oleh ulamak yang belajar di Timur Tengah.

PAS telah didaftarkan sebagai sebuah parti politik sehari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan iaitu pada 31 Mei 1955. Lantaran itu, pengaruh PAS belum menyeluruh, hanya baru bertapak di Perak, Kelantan dan Terengganu. Meskipun begitu, PAS percaya bahawa langkah untuk menyertai pilihan raya pada masa itu merupakan latihan semata-mata dan sangat wajar untuk memperkenalkan PAS kepada rakyat secara terbuka.

Setelah empat tahun penubuhan, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan calon bertanding di tiga kawasan di Kelantan dan kesemuanya kalah. Mereka ialah Mohammad Asri (Bachok dan Pasir Puteh), Muhammad Nor Hj Yusof (Mahang dan Ulu Kelantan) dan Haji Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas).

Walau bagaimanapun, PAS mendapat satu kemenangan di Kerian, Perak melalui calonnya Tuan Haji Ahmad Tuan Husain, seorang guru pondok di Pokok Sena, Seberang Prai.

Berikutan dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya Mohd Asri dan Amaluddin Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan.

Berkat usaha gigih pemimpin terawal, PAS kemudian berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan melalui pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959. PAS Kelantan telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah. PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 30 kerusi. Kemenangan yang menguji PAS Kelantan untuk mentadbir kerajaan Negeri.

Dalam pilihanraya 1959 itulah Profesor Zulkifli Muhammad selaku Timbalan Yang DiPertua PAS Pusat, seorang tokoh PAS Pusat telah didatangkan bertanding di Parlimen Bachok. Beliau telah menang dan berjaya menjadi salah seorang ahli Parlimen pembangkang yang paling disegani oleh kawan dan lawan.

Cabaran Perjuangan PAS Kelantan

Kemenangan pilihan raya 1959, telah meletakkan taraf PAS Kelantan sebagai parti kerajaan di negeri dan mengekalkan status-quo pembangkang di Persekutuan. Oleh itu, perjalanan kerajaan negeri Kelantan sepanjang masa menghadapi cabaran dan diskriminasi kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO bersama-sama parti komponannya yang membentuk Perikatan.

Pada tempoh yang sama, PAS Kelantan turut mengalami cabaran kepimpinan ekoran daripada perjalanan parti dan kerajaan negeri yang dikuasai. Sehingga mana mewujudkan perselisihan dan percanggahan sesama sendiri. Ketika itu, pemimpin UMNO sedia bertindak sebagai pemecah belah kestabilan kepimpinan PAS di Kelantan. Akhirnya, PAS Kelantan tidak mampu bertahan, apabila kekecohan kepimpinan memuncak dan kerajaan Persekutuan menerusi kuasa-kuasa yang ada telah memagerankan kerajaan Kelantan pada tahun 1977.

Pilihan raya negeri Kelantan secara khusus diadakan pada Mac 1978, PAS Kelantan telah menjadi pembangkang. PAS hanya menang dua kerusi, diibaratkan batu nesan – Kemumin (di hilir) dan manek Urai (di hulu). UMNO telah menguasai kerajaan dengan bersama-sama parti Berjasa serpihan PAS.

Kebangkitan PAS Bersama-sama Kepimpinan Ulamak

Sesungguhnya era kebangkitan semula pengaruh PAS Kelantan menguasai politik berlaku selepas kekalahan pilihan raya negeri 1978. Ia berlaku selepas pilihan raya umum 1982, sebaik sahaja kepimpinan PAS peringkat nasional berubah daripada kepimpinan tradisi nasionalis kepada kepimpinan ulamak beragama. Akibat daripada itu, sekali lagi PAS melahirkan parti serpihan, Hamim.

Kebangkitan semula itu telah menserlahkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan sekaligus sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pada pilihan raya pertama selepas kekalahan tahun 1982, PAS memenangi 10 kerusi dewan negeri. Namun selepas itu, lima daripadanya telah menyertai Hamim. Kemudian pada pilihan raya 1986, PAS masih memenangi 10 kerusi dewan negeri.

Perkembangan selanjutnya adalah dipengaruhi langsung oleh pendekatan kepimpinan ulamak. Hala tuju tarbiah disusun semula. Ustaz Yahya Othman mengambil peranan utama bersama-sama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melaksanakan kuliah untuk masyarakat umum dan usrah untuk kepimpinan dalaman. Kesan daripada itu, kepimpian dan ahli serta penyokongnya telah dibekalkan kefahaman dan fikrah perjuangan mantap.

Menjelang pilihan raya 1990 berlaku krisis dalaman hebat kepimpinan UMNO dan ditambah pula permasalahan dalaman kerajaan Barisan Nasional Kelantan. PAS Kelantan yang telah bertungkus lumus daripada awal menyusun kekuatan, lantas bangkit mengisi peluang dan telah mengadakan kerjasama baik dengan parti Semangat 46, serpihan UMNO yang dipimpin Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah.

Berlaku pilihan raya 1990, PAS telah mempunyai kekuatan berganda, bekerjasama melalui Angkatan Perpaduan Ummah (didokongi oleh Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim) dan berjaya memenangi kesemua 39 dewan undangan negeri (25 – PAS, 12 Semangat 46, 1 – Berjasa, 1 – Hamim). PAS kembali menguasai kerajaan negeri Kelantan berlaih kepada PAS atas semangat kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah.

Pengalaman 10 Tahun Kerajaan PAS Kelantan

Selama dua pengggal pilihan raya, kira-kira 10 tahun pemerintahan PAS bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah banyak kejayaan telah dikecapi. Di antara yang terbesar adalah merealisasikan pentadbiran secara Islam mengikut kuasa-kuasa yang ada di peringkat kerajaan Negeri.

Namun, kejayaan itu terganggu seketika bila mana Semangat 46 dilanda krisis dalaman, lalu ia dibubarkan pada tahun 1996. Selepas itu, PAS Kelantan mengenderai kerajaan dengan penuh berhati-hati terutama di dalam menangani ganggu–gugat daripada bekas pemimpin Semangat 46 yang telah menyertai UMNO.

Berkat kesabaran dan keyakinan kepada usaha menegakkan Islam, PAS Kelantan berjaya melepasi ganggu-gugat tersebut. Terlepasnya daripada usaha pecah-belah di antara kepimpinan kerajaan Negeri dengan Institusi Istana. Hasilnya begitu baik sekali. Prestasi pilihan raya 1999 jelas melonjak, memenangi 41 daripada 43 dewan undangan negeri. Pembentukan kerajaan negeri pda pengal ketiga ini dilihat lebih mantap. Lebih-lebih ia dibayangi kekuatan Barisan Alternatif (kerjasama PAS, DAP, Keadilan dan PRM) yang diterajui PAS di peringkat nasional.

PAS Kelantan Menuju Mercu Kegemilangan

Sesungguhnya PAS Kelantan kini sedang mencipta sejarah kegemilangan. Di antara nilai kegemilangan itu adalah kejayaan mentadbir negeri atas nama perjuangan Islam, menampilkan kepimpinan ulama’ di peringkat parti dan kerajaan dan melengkapkan infrastruktur (fizikal) parti berasaskan kecanggihan teknologi.

Oleh itu, bersekali dengan kesibukan kepimpinan PAS Kelantan menguruskan kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri, masih terlaksana juga kerja-kerja untuk menyempurnakan tugas parti dan mengukuhkan PAS pada keseluruhannya. Di dalam melaksana kedua-duanya (kerja kerajaan dan parti) asas kebulatan tekad dan keupayaan tulang empat kerat di kalangan pemimpin dan ahli PAS telah terbukti dan membuahkan kejayaan menjelang sambutan 50 tahun – perayaan jubli emas.

Sambutan Jubli Emas PAS

Jubli Emas PAS akan disambut di peringkat nasional pada 7 – 9 September 2001.PAS Kelantan bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah. Sejarah sambutan ini kelak amat bermakna sekali terutama ketika PAS Kelantan bersama-sama PAS Terengganu kini menjadi fokus di pentas politik negara.

Justeru itu, baik sekiranya semua kepimpinan, ahli dan penyokong PAS di semua peringkat dapat menyelami, memahami dan dijadikan pedoman daripada sejarah yang dilalui oleh PAS secara keseluruhannya.

PAS yang telah banyak menghadapi liku-liku, onak dan duri. Sejarah perjuangan yang berliku-liku ini tidak diketahui secara jelas oleh kebanyakan generasi muda hari. Oleh itu, wajar bagi PAS Kelantan bersempena genap umur 50 tahun ini, dapat bersama-sama melakar dan merakamkan semula sejarah perjuangannya kepada semua ahli PAS dan orang awam demi mendedahkan kebaktian perjuangan Islam di tanah air yang tercinta ini.

Sekian