Rakyat dan Kepimpinan PAS Semua Peringkat Nyatakan Sokongan Tidak Berbelah Bahagi Kepada Tok Guru
Sabtu, 05 Disember 2009 18:45 |
Kota Bharu - Selasa lalu lebih kurang 100 orang lebih yang terdiri daripada penyokong UMNO di ketuai Che Johan Che Pa mengadakan perhimpunan disekitar pintu masuk ke Kompleks Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim bagi menyatakan pendirian mereka agar Tuan Guru Menteri Besar Kelantan meletak jawatan dan meminta Tuan Guru menarik balik doa Tuan Guru ke atas PerdanaMenteri mengenai royalti minyak.
Walaupun media melaporkan kehadiran mereka ini seribu orang, namun rakyat tidak buta dan boleh ditipu.
Pada Jumaat, semalam selepas kuliah, ribuan penyokong PAS yang juga pengikut setia kuliah pagi Jumaat, menaikkan berpuluh sepanduk dan melaungkan takbir dan ucapan bagi menyokong kepimpinan YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd Aziz Nik Mat dalam menerajui Kerajaan Negeri Kelantan dan mendesak Kerajaan Pusat pimpinan Najib menunaikan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri.
Lagi putar belit dan penipu media Kerajaan ialah kehadiran yang menyokong kepimpinan Tuan Guru pada pagi Jumaat hanyalah 500 orang.
Sejak berminggu yang lalu, serangan UMNO/BN terhadap Tuan Guru berterusan, bertubi-tubi sehingga Tuan Guru sebagai panglima perang terpaksa berhadapan sendiri dengan serangan tersebut walaupun tentera-tentera di kiri kanan Tuan Guru cuba menangkis. Namun peluru berpandu yang dihalakan UMNO/BN ke atas Tuan Guru ternyata gagal 'menghancurkan' imej dan kredibiliti Tuan Guru dan Kerajaan Kelantan.
Hari ini kita melihat ribuan rakyat Kelantan dan seluruh kepimpinan PAS Kelantan dari semua Dewan, sama ada Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda serta PAS Kawasan di Kelantan berdiri teguh menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan ulamak yang diterajui oleh Tuan Guru di Kelantan.
Dewan Ulamak di bawah pimpinan Ustaz Mat Iraqi, bekas ADUN Demit sebelum ini mengeluakan kenyataan terbuka di media menyokong kepimpinan Tuan Guru dan pada Jumaat, Ustaz Mat tegas bersuara bahawa kepimpinan Tok Guru tetap akan dipertahankan sehingga ke akhir hayat dan mendoakan agar Tok Guru sentiasa sihat untuk menjalankan tugas.
Ucapan wakil Pemuda, Dr Rosli Alani dan Dewan Muslimat oleh Ketuanya, YB Ustazah Siti Zailah lantang menyatakan pendirian tegas yang akan terus berdiri teguh mendokong kepimpinan Tok Guru di Kelantan.
Sementara, Dato' Husam dalam ucapannya secara sinis menyatakan bahawa pemimpin UMNO sudah gelabah dan takut apabila terpaksa mengupah segelintir menyokongnya berhimpun di depan SUK untuk mendesak Tok Guru menarik balik doa mengenai royalti. Tambah Husam, "mana ada doa yang sudah diangkat ke langit hendak ditarik balik seperti main wau (layang-layang)".
Ternyata sokongan padu sebahagian besar rakyat Kelantan dan kepimpinan PAS Kelantan dari semua peringkat telah membuktikan bahawa kepimpinan Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd Aziz Nik Mat di Kelantan masih diperlukan sehingga ke akhir hayat beliau.
Sokongan ini melenyapkan sama sekali cakap-cakap dan cubaan untuk 'mengundurkan' Tok Guru secara senyap dan paksa dari tampuk pentadbiran Kerajaan Kelantan.
Semoga Allah memelihara Kerajaan Negeri Kelantan dengan limpahan berkat dan petunjuk yang berpanjangan.
Penafian: PAS Kelantan adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh
penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.
Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox dan Internet Explorer 7 dengan resolusi 1024 X 768