Saya mengira bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mempersoalkan pendirian YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang didakwanya berdiam diri berhubung dengan sambutan Hari Valentine’s Day seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, hari ini 13 Februari 2012 sebagai satu kenyataan individu yang sedang berada di dalam keadaan dharurat.

Saya maksudkan dharurat kerana dalam keadaan sekarang di mana pilihanraya dijangka berlangsung bila-bila masa sahaja, maka tidak ada pilihan lain bagi seorang yang tidak berjawatan tinggi di dalam hirarki parti seperti Mashitah untuk dicalonkan di dalam pilihanraya kecuali menampakkan diri sebagai hero menghentam Pakatan Rakyat dan di atas kapasiti sebagai seorang yang berpendidikan agama, sudah tentu PAS yang akan menjadi sasarannya.

 

Perlu diingatkan dharurat di sini bukanlah mempunyai kena mengena dengan kenyataan kontroversi Mashitah satu masa dulu yang dikatakan ‘mengharuskan’ seorang wanita melacurkan diri apabila berada dalam situasi dharurat. Isu tersebut perlu dilihat berasingan dengan isu yang ingin saya utarakan.

Merujuk kepada kenyataan Mashitah tersebut, ingin saya jelaskan bahawa pendirian YAB Tuan Guru di dalam isu Valentine’s Day sudah teramat jelas. Sebagai seorang ulama yang saban hari kerjanya tidak lain kecuali mengingatkan rakyat tentang akhirat, pendirian beliau tentang isu sejelas Valentine’s Day sudah tentu tidak perlu dipertikaikan lagi. Ianya haram untuk disambut oleh masyarakat muslim dalam situasi pengisian sambutan seperti hari ini. Bahkan pada 9 Januari 2012 yang lepas, beliau di Majlis Sambutan Hari Suami Isteri Peringkat Negeri Kelantan telah mencadangkan supaya sambutan Hari Suami Isteri diadakan setiap tahun bagi menggantikan Hari Valentine’s Day. Ini sekaligus menidakkan tohmahan Mashitah yang sedang dalam keadaan dharurat bahawa Tuan Guru berdiam diri!

Dalam hal ini, Mashitah sewajarnya sedikit rajin untuk meninjau pandangan rakan-rakannya di dalam Barisan Nasional yang pada hari ini sekapal dengan dirinya sendiri. Lihat bagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Kong Cho Ha, Setiausaha Agung MCA yang mendesak PAS agar tidak menyekat sambutan Hari Valentine’s Day. Jika Mashitah sudi membacanya, belek sahaja laman web thestar.com.my di bawah tajuk “Stop insulting Valentine’s Day celebrants, MCA tells PAS”. Kata Kong Cho Ha, “It is a happy occasion for people to get together and strengthen their bond. PAS should not be so narrow-minded.” (Rujuk : http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/2/12/nation/10723987&sec=nation) Hairannya, MCA tidak mendesak UMNO untuk tidak menghalang Valentine’s Day. Sebabnya mudah, selain songkok di atas kepala dalam majlis tertentu, hampir dalam kesemua isu, pemimpin UMNO dan MCA mempunyai pandangan yang sama!

Atau jika kenyataan MCA masih belum mencukupi, saya bekalkan kenyataan dari Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang menyebut bahawa, “PAS Youth must apologise and retract its statement that Valentine's Day celebration would promote "immoral activities". Kenyataan rakan UMNO di dalam Barisan Nasional ini boleh dirujuk di http://malaysia-today.net/mtcolumns/newscommentaries/47128-apologise-for-valentines-day-claim-pas-told

Kenapa Mashitah membisu bila berdepan dengan kenyataan kawan-kawannya di dalam Barisan Nasional ini? Kenapa nampak sangat terdesak dengan tiba-tiba mempersoalkan pendirian Tuan Guru Nik Aziz. Jika kenyataan rakan-rakan yang bukan Islam masih belum mencukupi, apa pula pendirian Mashitah terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini 13 Februari 2012 di dalam akhbar New Straits Times, halaman 9 menyatakan, "What is wrong with celebrating Valentine's Day? Can a one-day event cause the moral values of Malaysians to go down...?" Lebih menakjubkan lagi, kenyataan Nazri ini hanya keluar di dalam akhbar berbahasa Inggeris dan kenyataan Mashitah hanya di dalam kahbar Utusan Malaysia. Berapa mukakah talam pemimpin UMNO?

Saya kira adalah wajar agar Mashitah mencari kaedah lain untuk menonjolkan diri sebagai hero daripada menulis dan mengeluarkan pelbagai kenyataan memburuk-burukkan pimpinan PAS. Hujah-hujah ‘tohor’ yang dikeluarkan nampak tidak sepadan dengan ijazah kedoktoran yang dimiliki. Hormatilah kesarjanaan yang dimiliki itu. Paling tidak, tegurlah sepatah ‘amalan menggadai akidah’ yang dilakukan Presiden UMNO sehari dua ini.

Saya kira masih banyak lagi jalan lain yang boleh dilakukan oleh Mashitah untuk mengeluarkannya dari situasi dharurat yang dialaminya sekarang ini.

Dengan hormat,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 13 Februari 2012

Terakhir dikemaskini (Isnin, 13 Februari 2012 16:00)