Pasir Mas: Apa Cerita Sebenarnya?

Tidak seperti air sungainya yang tenang mengalir, ombak politik di Pasir Mas bergelombang dengan kadar yang sukar untuk diduga. Walaupun jangkaan umum akan berlaku perebutan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (Che Johan Che Pa), PAS (Ustaz Nik Abduh) dan Bebas (Datuk Ibrahim Ali), namun jangkaan ini ternyata meleset dengan tindakan mengejutkan daripada calon UMNO.

Sebagaimana di lokasi-lokasi lain di seluruh negeri Kelantan, proses penamaan calon secara umumnya boleh dikatakan berjalan dengan lancar. Tiada masalah. Tidak tercetus sebarang pergaduhan ataupun provokasi. Parti-parti yang bertanding kelihatannya saling menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun sedikit kejutan berlaku di parlimen ini apabila dengan tidak semena-mena calon yang menerima watikah daripada Presiden Umno untuk bertanding di atas lambang Barisan Nasional akhirnya bertindak tidak menyerahkan borang pencalonan walaupun beliau turut memasuki dewan penamaan calon dan berarak bersama penyokong-penyokongnya.

Tindakan ini semestinya menggembirakan calon Bebas, namun ia juga menyebabkan calon tersebut yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas ini berdepan dengan tindakan tegas termasuk dipecat keanggotaannya oleh parti sekiranya kegagalan menghantar borang pencalonan itu dilakukan dengan sengaja.

Setiausaha Agung (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa mengulas perkara ini berkata, selaku calon yang dipilih pucuk pimpinan, Che Johan tidak sewajarnya berbuat sedemikian.

“Kita akan menyiasat perkara ini. Jika didapati ada unsur-unsur tidak baik terhadap parti, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan sebagai ahli.” ujar beliau.

Tindakan berani tersebut menyebabkan calon Bebas yang merupakan Penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dicabar satu lawan satu oleh calon PAS, Ustaz Nik Abduh. Hakikatnya, senario  ini akan  merugikan BN. Calon Bebas tidak memberikan sebarang merit kepada usaha menubuhkan kerajaan, baik kerajaan negeri, apatahlagi kerajaan pusat. Untuk menubuhkan kerajaan pusat dan negeri, hanya parti politik yang menang kerusi majoriti Parlimen dan Dun sahaja boleh berbuat demikian, dan bukannya calon.

Justeru, rakyat perlu bijak membuat pemilihan. Walaupun tidak dinafikan calon yang benar-benar berintegriti, cakna dan prihatin kepada rakyat, mesra rakyat yang dimahukan, namun semua perlu sedar bahawa PRU13 ini, ada wawasan yang lebih besar yang harus dituju. Lupakan dahulu soal calon yang tidak mesra sebab rakyat hari ini perlu melihat lebih jauh ke hadapan.

Dalam hal ini, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan, ahli-ahli Umno di Parlimen Pasir Mas pastinya akan menunjukkan protes besar-besaran terhadap pengkhiatan yang telah dilakukan oleh Che Johan Che Pa ini.

"Walau nampak dari sudut zahir bahawa Che Johan telah melakukan kesalahan disiplin tetapi saya percaya ia telah dirancang daripada awal memandangkan Che Johan terkenal sebagai anak buah kepada Datuk Ibrahim Ali. Saya penuh yakin ini adalah satu bentuk konspirasi bagi memastikan tidak ada ahli Umno bertindak menjadi calon Bebas dalam pilihanraya ini. Akhirnya yang tertipu ialah seluruh ahli UMNO di Parlimen Pasir Mas.." ulas beliau.

Apa yang mustahak, undilah berdasarkan parti yang diwakili. Undilah kerana calon itu PAS atau daripada barisan Pakatan Rakyat, yang akan mengekalkan pemerintahan Islam di Kelantan kalau majoritinya menang. Kelak, jika beberapa negeri turut dimenangi PR, kita berharap pemerintahan negara ini bakal beralih kepada Pakatan rakyat yang diharapkan tiada korupsi. Semuanya untuk kebaikan kita dan generasi masa hadapan.  - S. Najman

 

23 April 2013